Penat
Berpagian menyiapkan diri menghadapi segala beban,
Yang menyesak pada jiwa dan fikiran tanpa terluahkan,
Setiap detik memikirkan bagaimana untuk bertahan,
Tanpa jatuh dan tersembam tanpa pautan.
Mencuba sedaya upaya menahan tangis,
Menangkis segala perlian dan kata-kata sinis,
Mengerah keringat membina tembok pada dada dan diri,
Agar terlihat gagah walau hati berdarah dihiris.
Hari-hari memulakan langkah tanpa arah,
Mengikut haluan dan jalan ibarat haiwan ternakan,
Masa depan yang dulunya berani diimpikan,
Kini hanya tinggal debu dan angan-angan.
Dari pagi hingga petang berhempas-pulas,
Apa yang dicari dan dikejar tidak sudah,
Dimintakan ilmu namun dikatakan culas,
Akhirnya pulang dengan harapan yang hancur dan punah.
Hidup dipenuhi teriakan dan jeritan,
Merasa serabut namun harus bertahan,
Ketakutan mulai menjalar dari dalam,
Sekiranya suatu hari di luar kawalan,
Amarah yang selama ini ditahan,
Berhamburan pada orang yang salah.
Tekad yang dibina saat mulai melangkah,
Kini mulai memudar dan berpamitan,
Membuat diri menjadi panasaran,
Bagaimana akhirnya sebuah perjalanan,
Yang panjang dan memenatkan.
No comments:
Note: Only a member of this blog may post a comment.