Ada apa dengan langit?
بسم الله الرحمن الرحيم
Mereka kata, aku pelik kerna setiap langit yang kulihat, ku kagumkan.
Mereka tidak tahu, aku tenang menatap kanvas alam yang menjadi payungan insan.
Langit yang luas terbentang, membuat hati yang sempit menjadi lapang.
Langit yang kebiru-biruan dengan cahaya kekuningan membuat mata yang melihat,
celik akan kebesaran Tuhan.
Bagaimana langit yang tidak bertiang mampu kukuh tertegak tanpa sebarang pautan,
menjadikan hati yang mulanya berpaling dari bantuan Tuhan,
kembali mengakui bahawa semuanya terjadi atas arahan.
Arahan siapa lagi kalau bukan Tuhan pemilik alam.
Cahaya yang terbias dari celahan awan seolah memberi harapan,
bahawa esok masih ada peluang,
untuk memperbaiki diri dari segenap ruang yang pada hari ini,
impian itu telah termusnah dengan kesilapan dan keegoan.
Bagaimana setianya langit menemani setiap langkahan,
seolah memujuk dan mengkhabarkan bahawa,
di dunia ini aku tidak keseorangan,
meskipun tiada teman yang berjalan seiringan.
Langit yang malap dan kemerahan pada waktu senja seakan mengingatkan,
bahawa semua yang di bumi akan ada pengakhiran.
Di penghujung jalan,
kita semua akan kembali pada satu tempat yang ditentukan.
Tempat di mana terhisabnya segala amalan dan pada hari itu,
terbuktilah akan kebenaran segala janji Tuhan.
Meskipun pada labuhnya petang,
biasan langit tiada lagi kelihatan,
langit sentiasa di sana menunggu siang,
untuk memberi harapan baru pada setiap insan.
(060918 : Dalam bas pulang ke kampung halaman)
No comments:
Note: Only a member of this blog may post a comment.