Desahan Rindu Seorang Sahabat
Assalamualaikum Sahabat.
Apa khabar sayangku ? Moga damai saja kamu disana.
Jauh di dunia yang berbeza.
Sayangku,
Hati aku merintih akan usapan kasih sayang kamu,
Hati aku menangis akan memori bersama kamu,
Hati aku pedih setiap kali merindukan kamu.
Sayangku,
Setiap kali nama kamu meniti di bibirku,
Takkan pernah sekali tanpa air mata turut bersamaku,
Setiap kali mengenangkan kamu,
Takkan pernah sekali tanpa rasa ingin memelukmu.
Sayangku,
Maaf kerana aku masih belum boleh melupakanmu,
Maaf kerana sampai bila-bila sekali takkan aku mampu,
Untuk memadamkan segala memori kita bersama yang tepu di ingatanku.
Sayangku,
Hanya sebentar Allah pinjamkan kamu untuk aku,
Hanya sebentar aku dapat mengenali kamu,
Mengenal hati budi kamu,
Melayan telatahmu tanpa jemu,
Mendengar bicaramu tanpa sebu.
Sayangku,
Kedinginan yang ku rasa saat mencium dahi kamu,
Hingga kini masih ku ingat akan yang satu itu,
Bibirmu yang sedikit terbuka saat matamu tertutup sayu,
Hingga kini masih kekal tersimpan dalam kotak memoriku,
Gurau senda terakhir bersamamu,
Hingga ke saat ini masih kekal tersemat dalam jiwaku.
Sayangku,
Sudah hampir lima tahun kamu meninggalkanku,
Namun ingatan tentang kamu,
Tetap utuh nan segar ibarat semalam kita bertemu,
Bergelak sakan tanpa hiraukan pantasnya waktu,
Yang seakan cemburu akan kamu dan aku.
Sayangku,
Coretan ini walau tidak sekali dapat dibaca olehmu,
Namun aku yakin akan yang SATU,
Semoga dipertemukan aku dan kamu,
Di dunia abadi yang satu itu,
Inshaa Allah kerana Allah Maha Tahu,
Apa yang ada di hati kamu dan aku.
Damailah kamu di sisi Allah Yang Satu,
Wahai Bidadari kecil aku,
Hilangnya kamu ibarat patahnya sebelah sayapku,
Namun selagi nyawa dikandung badan yang tanpaNya layu,
Inshaa Allah dapat ku terus melangkahkan kakiku,
Di atas muka bumi yang penuh dengan liku.
Coretan buat Sayangku Sahabatku Jiwaku.
No comments:
Note: Only a member of this blog may post a comment.